Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 28 Mei. - Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat baginda, dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi diraikan pada pagi tadi, di Istana Nurul Iman.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Juga berangkat, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam; serta kerabat diraja yang lain.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain dijunjung oleh Penasihat Bersama dan Pengerusi Bersama serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta kerabat baginda dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Istana Nurul Iman bagi Tahun 1447H / 2026M, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad; dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Sebelum majlis dimulakan, selawat dipersembahkan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam dan Jabatan Hal Ehwal Masjid; juga para pensyarah, pegawai, kakitangan serta mahasiswa Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Seterusnya, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dipersembahkan oleh johan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri.
Sementara Tadabbur Al-Quran disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.
Kebawah DYMM kemudian berkenan mengurniakan daging ibadah korban kepada 50 penerima khas yang terdiri daripada 25 lelaki dan 25 perempuan daripada golongan asnaf fakir dan miskin di seluruh negara.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan.
Pada tahun ini, sebanyak 210 ekor haiwan korban telah dikorbankan, iaitu 196 ekor sapi dan 14 ekor kambing.
Sebahagian daripada daging ibadah korban sunat berkenaan diagihkan kepada seramai 18,527 orang asnaf fakir dan miskin di seluruh negara.




